Friday, 1 February 2013

LIMA 97: Edisi Keempat - Suatu Catatan

LIMA 97 merupakan edisi keempat pameran Maritim & Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA). Pameran LIMA yang sudah dikategorikan sebagai salah satu pameran udara maritim dan udara yang dikenali di seluruh dunia terutama di kalangan pengeluar senjata utama dunia dan pembeli utama dalam industri pertahanan terutamanya bagi pasaran Asia Pasifik.

Meskipun tahun 1997 rantau Asia terutamanya dilanda krisis kewangan yang teruk, pameran LIMA 97 tetap mendapat sambutan meskipun penyertaan tidaklah sehebat LIMA 95. Jumlah pesawat yang menyertai LIMA 97 juga agak berkurangan berbanding LIMA 1995, mungkin disebabkan pengurangan kos syarikat pempamer.

Pada LIMA 1997, penyertaan pesawat dari Rusia adalah amat kecil berbanding pameran LIMA edisi terdahulu. Tiada lagi kelibat pesawat SU-27 dari pasukan aerobatik Russian Knights. Mungkin disebabkan tragedi yang menimpa pasukan Russian Knights selepas LIMA 95 menyebabkan pasukan tersebut terpaksa melakukan rombakan semula.

LIMA 97 berjaya dimeriahkan oleh pesawat-pesawat TUDM dengan penampilan sulung pesawat F/A-18D Hornet yang baru diperolehi dari pihak Boeing, Amerika Syarikat. 8 buah pesawat pejuang / penyerang 2 tempat duduk F/A-18D Hornet tiba pada pertengahan tahun 1996.

Pada LIMA 97 juga pihak TUDM muncul dengan pesawat MiG-29 yang diperoleh semasa LIMA 95. 5 pesawat MiG-29N yang dikenali sebagai Tedung Selar menjadi salah satu tarikan utama semasa pertunjukan udara pada LIMA 97.

Pasukan aerobatik terkemuka dunia dari British, Red Arrows turut menyertai LIMA 97. Red Arrows tampil buat kali ketiga dalam siri pameran LIMA selepas menyertai LIMA 93 dan LIMA 95. Pasukan aerobatik Red Arrows menjadi tarikan utama semasa pertunjukan udara pada LIMA 97.

Amerika Syarikat menghantar 2 buah pesawat F-16C/D Block 50 dan F-15E Strike Eagle untuk menyertai LIMA 97. Pesawat F-16C/D terlibat dalam pertunjukan udara dan pameran statik, manakala pesawat F-15E terlibat dalam pameran statik.

Helikopter penyerang Rooivalk dari firma Denel Afrika Selatan turut kembali mempamerkan kehebatan pada LIMA 97.

Pihak EADS / BAE System turut membawa replika pesawat Eurofighter Typhoon yang sedang dibangunkan pada ketika itu di LIMA 1997.

Secara keseluruhannya pameran LIMA 97 boleh  dikategorikan sebagai berjaya disebabkan kejatuhan ekonomi di Asia pada ketika itu.


No comments:

Post a Comment