Tuesday, 12 February 2013

LIMA 2001: Edisi keenam LIMA - Suatu Catatan

LIMA 2001 merupakan edisi keenam siri pameran Maritim & Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA). Pameran yang pada awalnya dijangkakan lebih hebat dan besar berbanding LIMA 99 menjadi agak suram disebabkan tragedi 11 September 2001. Pasukan aerobatic terkemuka dunia seperti Red Arrows & Thunderbirds terpaksa menarik diri pada saat-saat akhir sebelum LIMA 2001 bermula.

Walau bagaimana pun, jumlah penyertaan pesawat agak memberangsangkan walaupun pada ketika kesan tragedi 11 September masih dirasai. Pihak Russia masih kekal sebagai salah satu pempamer utama pesawat pada LIMA 01. Sebuah pesawat pejuang pelbagai fungsi (MRCA) yang baru, SU-30MK yang baru dipasang dengan enjin TVC (thrust vectoring control) dan sistem radar & avionics yang baru (diambil dari sistem pesawat SU-35/37) diterbangkan ke Langkawi untuk pertunjukan semasa LIMA 01.

Firma Mikoyan turut membawa sebuah pesawat MiG-29M2 yang telah dinaiktaraf sebagai pesawat MRCA turut dipamerkan untuk pertunjukan udara & pameran statik. Pesawat tersebut pada ketika itu cuba ditawarkan kepada TUDM sebagai pengganti pesawat MiG-29N. Pesawat SU-27 dari Gromov Flight Training Insitute yang dikenali sebagai Test Pilot Team diiringi sebuah pesawat tangki IL-78 turut membuat penampilan semula selepas LIMA 99.

Pasukan aerobatik terkemuka Russia, SU-27 Flanker Test Pilot Team dari Gromov Flight Training Institute muncul buat kali kedua selepas LIMA 99. Pesawat yang dicat menggunakan jalur biru dan putih pada badan pesawat, manakala merah pada ekor pesawat turut terlibat dalam pertunjukan udara sepanjang LIMA 2001.

Pihak Amerika turut tidak ketinggalan membawa pesawat MRCA untuk ditawarkan kepada pihak TUDM. 2 buah pesawat pejuang / penyerang F/A-18E/F Super Hornet dari Unit Udara Tentera Laut Amerika terlibat dalam pertunjukan udara dan pameran statik sepanjang LIMA 01.
Lain-lain pesawat dari Amerika yang menyertai LIMA 01 adalah 2 buah pesawat F-16C/D Block 50 Falcon yang terlibat dalam pertunjukan udara dan pameran statik dan 2 buah pesawat F-15E Strike Eagle yang terlibat dalam pameran statik. Pesawat-pesawat tersebut diiringi oleh pesawat tangki KC-135 Stratotanker. Pesawat-pesawat F-15E & F-16C/D adalah dari pangkalan udara Amerika di Pasifik (Guam).

Pihak TUDM juga tidak ketinggalan mempamerkan aksi-aksi menarik menerusi pertunjukan udara. 6 buah pesawat MiG-29N yang dikenali sebagai Taufan Ganas tidak ketinggalan mempamerkan kehebatan menerusi aksi-aksi memukau pesawat MiG-29N. Disamping itu 6 buah pesawat F/A-18D Hornet turut tampil melakukan aksi-aksi aerobatik yang menarik perhatian ramai. Lain-lain pesawat TUDM yang dipamerkan adalah pesawat latihan / pejuang ringan Hawk 108/208 dan F-5E Tiger.

Lain-lain pesawat yang menyertai LIMA 2001 adalah Beriev Be-200 dari Rusia, Ilyushin IL-76 Cargo (Rusia) & Antonov AN-124 Ruslan (Rusia).

Helikopter penyerang dari Afrika Selatan, CSH-Rooivalk turut dipamerkan dalam pertunjukan udara dan pameran statik semasa LIMA 01. Manakala pesawat penyerang / pengebom F-111 Advaark dari Tentera Udara Diraja Australia membuat penampilan pertama di LIMA 01. Pesawat tersebut dipamerkan dalam pameran statik.

Secara keseluruhannya, LIMA 2001 berjaya mencapai sasaran pihak penganjur. Pesawat-pesawat yang dipamerkan juga boleh dikatakan memberansangkan walaupun selepas kejadian 11 September 2001.





No comments:

Post a Comment