LIMA 2005 merupakan edisi kelapan siri Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi. LIMA 2005 boleh dikategorikan berjaya walaupun jumlah penyertaan tidak sehebat LIMA 2003. Jumlah pesawat yang menyertai LIMA 2005 juga berkurangan berbanding LIMA 2003.
Pasukan aerobatik terkemuka Red Arrows yang kebiasaannya menjadi tarikan utama pada siri pameran udara LIMA juga tidak menyertai LIMA 2005.
Dengan ketiadaan pasukan Red Arrows dan pasukan aerobatik terkemuka lain, tugas utama untuk memeriahkan LIMA 2005 digalas oleh pasukan aerobatik TUDM, iaitu MiG-29N Smokey Bandits ataupun Taufan Ganas dan pasukan F/A-18D Hornet dari pangkalan udara Butterworth. Kedua-dua pasukan tersebut berjaya mengisi ketiadaan pasukan aerobatik terkemuka dengan baik.
Pesawat F-111 Advaark turut kembali memeriahkan LIMA 2005 dalam pameran statik. Lain-lain pesawat yang kembali menyertai LIMA 2005 adalah pesawat pejuang F-16 C/D Falcon dari Tentera Udara Amerika Syarikat Pangkalan Pasifik. Dua buah pesawat F-16C/D terlibat dalam pertunjukan udara dan pameran statik. Manakala pesawat pejuang F-15 Eagle tidak menyertai LIMA 2005.
LIMA 2005 juga menyaksikan kemunculan awal pesawat latihan / pejuang ringan Yakovlev YAK-130M dari firma Irkutsk. LIMA 2005 merupakan salah satu pameran terawal disertai oleh pesawat YAK-130M yang sedang dibangunkan prototaip pada ketika itu. Pesawat YAK-130M terlibat dalam pertunjukan udara sepanjang LIMA 2005. Pesawat YAK-130M merupakan pesawat prototaip yang dibangunkan bersama oleh firma Yakovlev dari Rusia dan firma Aermacchi dari Itali. Selepas kerjasama tersebut gagal pihak Yakovlev meneruskan usaha tersebut dengan menamakan pesawat tersebut sebagai Yakovlev YAK-130M manakala pihak Aermacchi meneruskan usaha tersebut dengan pesawat Alenia Aermacchi M-346.
Satu lagi pesawat yang membuat penampilan sulung di LIMA 2005 adalah kapal terbang latihan KT-1 Kwongbee dari KAI Korea Selatan. Kapal terbang latihan yang cuba ditawarkan oleh pihak Korean Aerospace Industry tersebut turut terlibat dalam pertunjukan udara sepanjang LIMA 2005.
Pesawat AEW&C Embraer EMB-145 dari firma Embraer, Brazil turut dipamerkan buat pertama kali pada LIMA 2005. Pesawat tersebut dilengkapkan dengan sistem radar ERIEYE Ericsson.
Lain-lain pesawat yang terlibat pada LIMA 05 adalah helikopter Mi-17 & Mi-171 milik unit udara bomba, helikopter Super Lynx milik TLDM dan lain-lain pesawat milik TUDM.
No comments:
Post a Comment