Pada masa yang sama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang dalam proses pemodenan, terutamanya angkatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) & angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sedang dalam proses penggantian pesawat-pesawat pejuang utama era 60an dan 70an iaitu A-4 Skyhawk (pesawat terpakai era perang Vietnam) dan F-5E/F (diperoleh pada tahun 70an) dan kapal-kapal perang utama seperti KD Hang Tuah (era 70an).
Dengan adanya sebuah pameran yang menggabungkan pesawat-pesawat udara & kapal-kapal perang, pihak tentera udara dan tentera laut dapat membuat penilaian terbaik terhadap jet-jet pejuang dan kapal-kapal perang yang dipamerkan dalam satu pameran yang menggabungkan syarikat-syarikat pengeluar pesawat dan kapal perang terkemuka di dunia.
Pada awal Disember 1991, Pameran Maritim & Udara Antarabangsa Langkawi (Langkawi International Maritime & Aerospace / LIMA) telah diadakan buat pertama kalinya di Langkawi. Syarikat-syarikat pembuat pesawat, senjata & kapal-kapal perang di tempatkan di khemah pameran yang disediakan oleh pihak penganjur bersebelahan terminal penumpang Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.
Sambutan yang diberikan oleh syarikat-syarikat pengeluar pesawat, senjata & kapal perang terkemuka di dunia terhadap pameran sulung LIMA 91 amatlah menggalakkan. Syarikat-syarikat terkemuka di dunia seperti Lockheed Martin / General Dynamics, Boeing, BAE System (UK), Mikoyan Bureau dan lain-lain menyertai pameran sulung LIMA 91.
Rusia selepas era kejatuhan Soviet Union merupakan salah satu negara yang mempamerkan peralatan ketenteraan seperti jet pejuang, senjata, kapal perang dll. Syarikat-syarikat dari Rusia seperti Mikoyan Bureau, badan induk industri ketenteraan Rusia, Rosboronexport dan syarikat pengeluar pesawat yang tidak begitu dikenali pada ketika itu, Sukhoi berusaha mencari pasaran baru untuk peralatan ketenteraan seperti pesawat pejuang, senjata, helikopter, kapal perang dll selepas perpecahan Soviet Union.
Lokasi pameran statik pesawat & pertunjukan udara diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, manakala kapal-kapal perang berlabuh di perairan Pantai Kuala Muda.
Antara pesawat yang menjadi tarikan utama pada LIMA 91 adalah pesawat pejuang supersonic MiG-29 Fulcrum keluaran firma Mikoyan. Pesawat yang dikategorikan sebagai pesawat pejuang 'air superiority' itu melakukan penampilan sulung di LIMA 91 dan juga di Asia pada ketika itu. Pesawat MiG-29 Fulcrum membuat penampilan sulung di pameran udara di luar Rusia / Kesatuan Soviet pada tahun 1988 di Farnborough Air Show di UK. MiG-29 kemudian membuat penampilan sulung di Paris Air Show pada tahun 1989.
Sebuah pesawat MiG-29 Fulcrum milik Tentera Udara Rusia diterbangkan ke Langkawi untuk menyertai LIMA 91. Pesawat MiG-29 dikendalikan oleh 'test pilot' dari firma Mikoyan semasa pertunjukan udara di LIMA 91. Aksi-aksi memukau daripada salah satu pesawat pejuang yang terbaik di dunia pada ketika itu dan deruman enjin jet supersonic itu menggegarkan kawasan sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan menarik perhatian pengunjung LIMA 91.
Sebuah lagi pesawat pejuang yang dibawa oleh pihak Rusia adalah Sukhoi SU-27 Flanker. Pesawat SU-27 Flanker belum dikenali ramai pada ketika itu. Aksi-aksi memukau pesawat pejuang / pengiring jarak jauh ini menjadi tumpuan pengunjung LIMA 91. Pesawat dalam kategori 'heavyweight' ini memukau penonton dengan aksi-aksi yang tidak mampu dilakukan oleh pesawat pejuang lain pada ketika itu. Aksi seperti 'cobra', naik menegak dan berhenti di udara sebelum menjunam semula ke bawah adalah aksi-aksi yang tidak boleh dilakukan oleh pesawat pejuang lain pada masa itu. Disamping itu pesawat dalam kategori air superiority & supersonic ini mampu beroperasi pada jarak yang lebih jauh berbanding MiG-29 Fulcrum. Pesawat daripada pasukan aerobatik Russian Knights ini melakukan pertunjukan udara sepanjang LIMA 91.
Lain-lain pesawat dari Rusia yang menyertai LIMA 91 adalah pesawat pengangkut terbesar di dunia ketika itu, Antonov AN-124 Ruslan. Pesawat kargo ini membawa bersamanya helikopter Mi-17 dan Ka-25 Helix (Naval Helicopter) yang turut terlibat dalam pertunjukan di LIMA 91. Pesawat pengisi minyak Ilyushin IL-78 dan pesawat kargo sederhana, IL-76 turut di bawa bertujuan untuk pengisian di udara pesawat pejuang Rusia yang diterbangkan dari Rusia ke Langkawi.
Pesawat-pesawat dari negara lain yang menjadi tarikan pada LIMA 91 adalah F/A-18 A/B Hornet milik Tentera Udara Diraja Australia. Pesawat yang diterbangkan dari Pangkalan Udara Butterworth untuk pertunjukan udara harian memukau penonton dengan aksi-aksi memukau dan ketangkasan penguasaan udara. Hornet pada ketika itu kurang dikenali berbanding F-15 Eagle & F-16 Falcon.
Pihak Amerika Syarikat membawa 2 buah pesawat F-16 Falcon yang terlibat dalam pertunjukan udara dan pameran statik dan 2 buah pesawat F-15 C/D Eagle yang terlibat dalam pameran statik. Pesawat tangki KC-135 Stratotanker diterbangkan untuk mengiringi pesawat F-15 & F-16 untuk LIMA 91. Helicopter dari jenis Seahawak & Seasprite turut dipamerkan.
Pesawat-pesawat lain yang terlibat dalam pertunjukan udara adalah pesawat aerobatik Benson & Hedges, 2 buah pesawat A4 Super Skyhawk dari Tentera Udara Singapura (statik), Taming Sari (PC7), A4-Skyhawk TUDM turut terlibat dalam pertunjukan udara dan pesawat F-15E/F.
Pesawat-pesawat yang dipamerkan pada LIMA 91:
1. 1 x MiG-29 Fulcrum (Russian Airforce / Mikoyan) - Pertunjukan udara & pameran statik
2. 1 x Sukhoi SU-27 Flanker (Team Russian Knights) - Pertunjukan Udara & Statik
3. 2 x F/A-18A/B Hornet (RAAF - Butterworth) - Pertunjukan udara
4. 1 x Antonov AN-124 Ruslan (Antonov) Cargo - Statik
5. 1 x Mi-17 Military Transport Helicopter - Pertunjukan Udara & Statik
6. 1 x Kamov Ka-25 Helix Naval Helicopter - Pertunjukan Udara & Statik
7. 2 x F-16 C/D USAF Pacific - Pertunjukan Udara & Statik
8. 2 x F-15 C/D USAF Pacific - Statik
9. 1 x KC-135 Stratotanker USAF Pacific tanker - Statik
10. 1 x Benson & Hedges Aerobatic Aircraft - Aerobatic display
11. 2 x A4 Super Skyhawk RSAF - Statik
12. 5 x Pilatus PC-7 Taming Sari (TUDM) - Aerobatik display
13. A4-Skyhawk (TUDM) - Pertunjukan Udara
14. F-5E/F (TUDM) - Pertunjukan Udara
No comments:
Post a Comment